Tuesday, May 26, 2009

Kepulangan Dari Oman & Umrah

Hari ini, selasa 26 Mei 2009 saya selamat sampai ke tanah air dari Kota suci Mekah beserta 11 orang rakan-rakan yang lain setelah berada di Saudi selama 6 hari . Kumpulan pertama telah pulang sehari lebih awal. Saya baru boleh menulis setelah terputus talian internet semenjak 15 Mei 2009 lagi. Setelah sampai di KLIA saya sempat melihat email dan laman blog. Ramai yang bertanya pautan soalan PKSR tidak dapat diakses. Saya mohon maaf kerana terputus hubungan. Sebelum bertolak pulang ke Ipoh saya sempat membaiki pautan tersebut.
Kami sebenarnya telah bertolak dari bumi Oman pada 18 mei 2009 membawa pelbagai pengalaman manis dan menarik. Rasanya masa berlalu terlalu cepat. Perjalanan menaiki pesawat Ittihad UAE membawa kami ke bumi Riyad. Rombongan ini telah disambut oleh Abu Mahmud (Masiran) yang membantu kami menguruskan perjalanan sepanjang berada di Saudi. Sampai di Kota Madinah jam menunjukkan pukul 2 pagi 19 mei 2009, rabu. Subuh lebih kurang jam 4 pagi. Sejam sebelum azan Masjid Nabawi akan dibuka. Setelah check in dan mengemas diri saya terus ke Masjid Nabawi jam 2.45am. Hari rabu semua peserta dibawa menziarahi masjid Qiblatain dan Masjid Quba. Membeli di pasar kurma dan melawat bukit Uhud sebelum kembali ke Hotel untuk menunaikan solat Zohor di Masjid Nabawi. Alhamdulilah sempat solat berjamaah di masjid dalam setiap waktu sebelum berangkat ke Kota Mekah selepas solat zohor hari rabu. Sampai di Mekah jam 8:30 pm sedang azan Isyak. bersambung...

Friday, May 15, 2009

Laman Web Sementara

Assalamualaikum.

Untuk mendapatkan soalan Jawi dan bahan-bahan lain berkaitan j-QAF sila layari laman web alternatif di http://www.geocities.com/jqafperak/. Terima kasih.

Monday, May 11, 2009

Lawatan Di Oman 3

Hari kesembilan (2 Mei 2009, Sabtu) kuliah diteruskan dengan tajuk ( الاستفهام و أسماء الإشارة) dan (الحال وما يتعلق بها) oleh Dr 'Ata Abu Jabin sekali lagi. Tajuk ini sekadar mengingatkan kembali nostalgia lama. Lebih-lebih lagi beliau merupakan Khirrij Universiti Urduniyah (BA dan MA). Kemudian menyambung pengajian di Maghribi peringkat doktorah.

Hari Kesepuluh (3 Mei 2009, Ahad) peserta didedahkan pula konsep dan bentuk permainan bahasa (الألعاب القرائية واللغوية وتطبيقاتها التربوية) disampaikan oleh Ustaz Hasan al-Khabury Penyelaras Bahasa Arab di al-Mudiriyah. Aspek permainan memang amat ditekankan semasa P&P khususnya di sekolah rendah di Oman. Bentuk dan strategi permainan hampir sama di semua sekolah selain penambahan dan kreativiti guru-guru. Antara bentuk permainan mudah untuk induksi set ialah murid diberi (dalam kumpulan) sekeping kertas A4 yang mengandungi huruf-huruf hijaiyyah dan beberapa perkataan. Murid diminta mencari dan menggaris perkataan tersebut. Akhirnya terdapat beberapa huruf yang tertinggal. Murid diminta menyusun huruf-huruf berkenaan menjadi perkataan atau ayat yang merujuk kepada tajuk pelajaran hari itu.

Hari Kesebelas (4 Mei 2009, Isnin) adalah hari lawatan. Semua peserta begitu bersedia untuk merakam apa sahaja. Pengalaman lawatan ke sekolah yang pertama dulu, masing-masing tidak mengangka P&P amat menarik. Kami dibawa ke sekolah menengah (tahun 5 - 10). Sekolah rendah hanya untuk tahun 1-4 sahaja. Semua sekolah menengah diasingkan antara murid lelaki dan perempuan termasuk guru-gurunya. Semua peserta dibawa ke sekolah banat kerana lebih teratur. P&P juga berjalan secara teratur cuma tidak banyak aktiviti permainan sebagaimana sekolah rendah. Suasana kelas lebih kurang kelas-kelas sekolah menengah di Malaysia cuma dilengkapi hawa dingin. Semasa lawatan, guru mengajar tajuk ta'bir di kelas 9 (Tingkatan 3). Guru menampal empat gambar bersiri menceritakan seorang budak membantu orang tua melintas jalan sambil membawa barang dan gambar lain menceritakan tentang tajuk yang sama. Setelah murid ditanya beberapa soalan (4-7 soalan lisan) seperti tentang sifat terpuji yang ada, ayat quran, hadis dan kata-kata hikmah yang ada kaitan dengan sifat terpuji. Semua murid mengangkat tangan untuk menjawab soalan, (Terfikir juga mungkin memang tabiat orang Arab yang berani mencuba) murid-murid diminta melakonkan beberapa episod dihadapan kelas berkaitan sifat terpuji setelah perbincangan kumpulan. Setiap kumpulan tidak lebih daripada 6 orang murid.

Murid-murid menjalan aktiviti di dalam kumpulan masing-masing sepanjang masa

Semua murid berlumba-lumba untuk membuat persembahan. Sekali lagi terfikir ...mungkin murid-murid telah diminta bersedia. (Rahsia murid-murid sentiasa berlumba melibatkan diri dalam aktiviti masih manjadi tanda tanya dan misteri sehingga lawatan pada hari ini 11 Mei 2009, penulis mendapat jawapannya dan akan dicatatkan kemudian). Murid-murid sentiasa berada dalam kumpulan. Meja juga disusun dengan digabungkan empat meja satu kumpulan. 5 hingga 6 murid mengelilingi meja mengadap guru. Apabila aktiviti berkumpulan berjalan murid akan mengadap meja masing-masing tanpa mengangkat kerusi. akhirnya guru meminta murid-murid membuat ta'bir kitabi dalam kumpulan dan dibentang di hadapan kelas seterusnya guru membuat rumusan tentang tajuk pada hari itu.

Wakil kumpulan membentangkan rumusan pengajaran palajaran hari itu dihadapan kelas.

Bezanya P&P di SM dan SR ialah kurang galakan berbentuk bintang (dilekatkan di baju murid atau ditampal di atas kad manila di dinding yang mengandungi nama dan gambar murid) atau hadiah kecil. Tepukan dan pujian masih diteruskan dan menjadi amalan di semua sekolah. Walaupun peserta-peserta merasakan P&P di sekolah menengah kurang menarik berbanding di sekolah rendah dan kurang relevan dengan program bahasa arab j-QAF tetapi ianya tetap merupakan pengalaman berharga kerana dapat mendapat pendedahan dan pengalaman dari perlbagai aspek dan suasana yang berbeza.


Bersambung.

Thursday, May 07, 2009

Lawatan Di Oman 2

Hari kelima P&P diteruskan dengan Dr. Ata Abu Jabin membentangkan kertas kerja yang bertajuk (النكرة والمعرفة) dan (المبتدأ والخبر والنواسه – كان وأخواتها وإن وأخزاتها). Beliau berasal dari bumi Palestin. Kandungan pembelajaran lebih kepada pengukuhan maklumat sedia ada guru-guru. Sebelum kuliah berakhir jam 2:00 ptg beliau merumuskan semua isi kandungan menggunakan peta minta (خريطة الذهن) sambil membimbing peserta untuk membuat rumusan melalui pembinaan peta minda.



Dr 'Ata Abu Jabin memberi kuliah berkaitan dengan an-Nahw. Kuliahnya sering diselitkan dengan teka-teki antaranya apakah benda yang sama sepenuhnya dengan bentuk separuh bulan?


Hari kelima adalah lawatan ke sekolah antarabangsa. Tujuan lawatan adalah untuk melihat bentuk P&P Bahasa Arab kepada ajanib. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan akan melawat sekolah-sekolah yang berbeza. Saya bersama ahli kumpulan telah melawat sekolah Antarabangsa India. Murid sisekolah ini mempunyai 1700 orang murid. Malah ada sekolah yang mempunyai bilangan murid sehingga 7000 orang!! Di Oman mempunyai lebih kurang 15 sekolah swasta India. Mereka menggunakan sukatan daripada India dan boleh menyambung pelajaran di Universiti-universiti India apabila tamat pengajian di sekolah-sekolah ini. Bahasa pengantar adalah bahasa Inggeris.


Diberi penerangan oleh 2 orang guru bahasa Arab tentang buku teks yang digunakan di Bilik Buru Besar (Belakang)

Pemandangan dari pintu masuk sekolah


P&P Bahasa Arab dijalankan menggunakan kaedah Terjemah dan Tradisi sebagaimana yang digunakan di Malaysia tahun 80an. Cuma, guru menggunakan LCD setiap P&P memaparkan bahan Hiwar atau yang berkaitan dengan teks yang dibaca. Semasa lawatan, kami ditunjukkan demonstrasi P&P oleh guru yang mengajar qiraah selama 10-15 minit. Guru menterjemah perkataan demi perkataan kedalam Bahasa Inggeris sambil bertanya makna perkataan kepada murid. Sebahagian buku teks yang digunakan hampir sama dengan buku Mutholaah yang pernah digunakan di beberapa sekolah Agama di Malaysia tahun 70an-80an dulu. Mungkin ianya berpunca daripada sumber yang sama.


Apa yang menarik di sekolah ini ialah setiap kelas mempunyai 1 waktu seminggu untuk memasuki perpustakaan sekolah bagi urusan meminjam dan memulangkan buku.





Hari Ketujuh dan Kelapan adalah hari minggu di sini.





Bersambung

Friday, May 01, 2009

Lawatan Di Oman

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menghantar satu rombongan untuk mengikuti kursus bahasa Arab di Oman. Kursus yang berlangsung dari 25 - 20 april 2009 ini ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Oman dan diadakan di Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Oman. Kumpulan yang terdiri daripada 14 orang guru disamping 6 orang pensyarah Institut Perguruan dan 6 orang Pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia ini di ketuai oleh Tn Hj Md Ahir b Ahmad, Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Sarawak.



Satu Taklimat Pra Keberangkatan di Hotel Allson Klana, Nilai telah diadakan dan dirasmikan oleh Ustaz Abdullah Salleh mewakili Tuan Pengarah BPI. Beliau amat mengharapkan agar kumpulan ini dapat membawa sesuatu perubahan kepada perkembangan Bahasa Arab di Malaysia nanti.


Taklimat Pra Keberangkatan di Hotel Alsson Klana, Nilai

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat setelah singgah di Dubai selama 4 jam rombongan ini telah disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Oman, En Fadzli dan beberapa wakil daripada urusetia kursus Kementerian Pelajaran Oman.

Transit di Dubai

Lapangan Terbang Antarabangsa Oman, Muscat

Hari perrtama semua perserta telah dibawa ke hotel penginapan Safeer Continental Hotel yang terletak kira-kita 7 km dari tempat kursus dengan menaiki bas yang memberi perkhidmatan 24 jam sehari kepada peserta kursus bahasa Arab untuk berehat sebelum menghadiri majlis pembukaan rasmi kursus pada keesokan harinya sabtu 25 April 2009 di Pusat Latihan Bahagian Sumber Manusia Kementerian pelajaran Oman.

Hotel Penginapan, Muscat

Hari Kedua semua peserta kursus begitu teruja untuk mengikuti kuliah pertama yang bermula sebaik sahaja Majlis Perasmian selesai jam 10.00 pagi berkaitan A'lamat Tarqim dan disampaikan oleh Penyelaras Kursus (akademik) Dr Mohd Ahmad 'Uqlah berasal dari 'Ajlun, Jordan. Beliau telah berkhidmatan di Oman hampir 10 tahun. Penerangan yang begitu jelas dan kuat, kajian yang mendalam, contoh-contoh yang mudah semuanya mengubah persepsi peserta kepada tajuk yang dianggap remeh sehingga banyak kesilapan dilakukan bukan sahaja di dalam buku-buku cetakan bahasa Arab di Malaysia malah di negara-negara arab sekalipun.
Bergambar bersama Dr Muhd ahmad Uqlah selepas kuliah di dalam kelas

Hari ketiga peserta di dedahkan dengan kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Khalil Battashi berkaitan kemahiran membaca. Tajuknya agak remeh tetapi kupasannya amat mendalam sehingga para peserta menganggap ianya hanya sesuai dipraktikkan kepada murid murid sekolah menengah. Antaranya beliau menyatakan guru boleh mendorong murid untuk mengupas artikel yang dibaca melalui 3 pendekatan:
1. Fi (di) ; mengulas kefahaman tentang kandungan artikel itu sendiri
2. Min (dari) ; mengulas isu-isu semasa di luar dan dikaitkan dengan kandungan artikel
3.Ila (ke) ; mengambil pengajaran daripada kandungan artikel dan dikaitkan dengan isu-isu semasa di luar.
Kaedah ini katanya boleh membuka minda murid untuk memulakan perbincangan dan perbualan berkaitan bahan-bahan yang dibaca semada pembelajaran.
Hari keempat adalah hari yang paling mengejutkan dan mengubah samasekali persepsi persekolahan di Oman. Peserta-peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan terdiri daripada wakil pegawai, IPG dan guru-guru. Setiap kumpulan dibawa melawat 2 buah sekolah rendah sekitar Muscat. Setiap sekolah yang dilawati para peserta dibawa melihat P&P sebenar di 2 bulah kelas bahasa Arab. Hari itu (Isnin) sahaja hampir 32 buah kelas telah dilawati. Walaupun setiap peserta mendapat pengalaman di sekolah-sekolah yang berbeza tetapi masing-masing amat kagum dengan strageti P&P yang digunakan dengan berpusatkan murid dan kepelbagaian aktiviti sehingga ramai peserta kursus merasakan ingin sama-sama terlibat dalam proses pembelajaran sebagai MURID!!! Teknik permainan, pujian , galakan, hadiah, pergerakan, tepukan , sorakan semuanya menjadikan kelas begitu ceria. Perkara ini berlaku disemua kelas yang dilawati. Sukar dilihat kelemahan P&P. Mudah-mudah ramakan video P&P yang dibuat dapat dimanfaatkan untuk berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan di Malaysia nanti. Semua peserta amat ternanti nanti lawatan seterusnya yang diadakan setiap hari Isnin.

bersambung...


3 Mei 2009

Laman Web rasmi Kursus Bahasa Arab di Oman
http://www.dgba-oman.blogspot.com/