Sunday, January 09, 2011

Selamat Tahun Baru

Selamat bertemu kembali di tahun 1432h/2011h. Semoga j-QAF terus cemerlang dan berjaya mendepani isu pendidikan yang semakin mencabar. Tahun ini laman web SPIPk dikejutkan oleh serangan siber oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Semoga beliau diberi hidayah dan petunjuk.

Alhamdulillah ... laman web SPIPk telah boleh beroperasi semula dengan wajah baru. Terima kasih yang tidak terhingga kepada JU ICT yang telah membantu SPIPk untuk membina laman web SPI. Mereka terdiri daripada Us Zulkefli (SK Sg Jejawi), Us HAfizan (SK Seri Teronoh) dan Us Azmin (SK Seri Jaya). Begitu juga pegawai dari SPI sendiri yang terdiri daripada Us Mohamad Yahya dan Us Hamizun. SEMUA guru dipohon untuk membuat pendaftaran baru bagi mendapatkan semua pautan dan laman web.

Tahun 2011 telah tiba. Aktiviti pemantauan program j-QAF akan bermula pada 17 Jan - 10 Feb 2011. Serentak dengan itu akan diadakan Taklimat Ketua Panitia Pendidikan Islam di setiap daerah pada tarikh yang sama. Diikuti dengan pembentangan berfokus oleh Guru Besar sekolah-sekolah pelaksanaan j-QAF 2006 di semua daerah pada 14 Mac hingga 5 April. Program Guru Turus Pelaksanaan j-QAF juga akan berjalan sepanjang Bulan Feb dan Mac di beberapa sekolah terpilih.

Peristiwa 2010 seharusnya membantu kita merancang dan membina strategi bagi menjamin kecemerlangan generasi akan datang. Kita harus bekerja lebih fokus dan terarah. Bergerak secara berkumpulan dan bersepadu selari dengan hasrat Tn Pengarah bagi mengejar kecemerlangan dalam 3 bidang utama:
a. Kurikulum
b. Kokurikulum dan
c. Imej

Pencapaian j-QAF di negeri Perak pada Bulan Okt 2010 (murid-murid tahun 6) menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam al-Quran, wudhuk dan solat. Masing-masing mencapai 100%, 99.76% dan 99.55%. Manakala prestasi Jawi dan Bahasa Arab masih perlu dilonjakkan pada tahun 2011 dengan peratus pencapaian hanya 89.11% dan 87.91%.

Tahniah kepada guru-guru yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam mengejar kecemerlangan. Pelbagai strategi mesti dirancang untuk memberi impak positif bagi kedua-dua aspek ini. Selain daripada set latih-tubi Bahasa arab Tahap2, guru-guru perlu bertindak lebih awal kepada murid-murid tahap satu dengan kepelbagaian P&P. Pelbagai teori pembelajaran harus menjadi rujukan dan digunakan semasa P&P.

Bersamalah kita maju kehadapan sederap melangkah demi merealisasikan impian membentuk gererasi al-Quran dengan slogan "j-QAF Mendahului Sasaran".