Saturday, June 13, 2009

Catatan Dari Mekah

Setelah ckeck in di Hotel Rawabi Toyyibah kami ke Dewan makan untuk makan malam kemudian berehat. Kedudukan hotel lebih kurang 300 meter daripada perkarangan masjil Haram. Jam 10:30 pm kami menuju ke Masjidil Haram. Malam itu penuh bermakna bagi kami semua. Dapat memasuki perkarangan Masjidil Haram dan melihat Kaabah merupakan saat yang begitu istimewa. Ibadat umrah dapat diselesaikan lebih kurang jam 12:30am. Kembali ke hotel penginapan sebelum solat subuh jam 4:10 am.

Pagi khamis 21 mei 2009 kami semua dibawa melawat kawasan manasik al-Haj. Jabal Rahmah, Mina, Arafah dan Muzdalifah. Kawasan Jamrah masih dalam pembinaan. Hanya dilihat dari jarak jauh. Petang itu saya dan beberapa rakan sempat menunaikan umrah bagi kali ke dua. Alhamdulillah , sepanjang berada di Mekah ramai peserta sempat menunaikan umrah sebanyak 5 kali. Walaupun bukan musim haji tetapi bilangan orang yang menunaikan umrah macam musim haji. Tak pernah kurang. Ramai pengujung dari Pakistan, Turki dan India. Orang Malaysia dan Indonesia belum ramai lagi. Mungkin kerana cuti sekolah belum bermula. Pada waktu ini cuaca di Mekah tidak sepanas di Oman yang mencecah 420 C. Cuaca waktu malam pula begitu nyaman dan selesa.

Makanan yang disediakan 3 kali sehari dimasak oleh orang Indonesia. Masakan Melayu, simple tetapi amat menyelerakan. Hari Jumaat kami dijamu dengan nasi briyani. Service air panas 24 hour setiap hari.

Kota Mekah terus melalui perubahan demi perubahan. Kali terakhir saya ke tanah suci ialah 18 tahun yang lalu semasa menuntut di Jordan. Istana Raja Fahd di sebelah Masjidil Haram masih tersergam indah. Kini kawasan sekitar masjidil Haram sedang mengalami perubahan pesat. Bangunan hotel berkembar macam KLCC sedang dalam pembinaan dan hampir 90% telah siap. Ketinggiannya sayup mencakar langit. Di tengah-tengahnya pula bangunan dengan reka bentuk yang sama dibina dengan ketinggian yang lebih tinggi. Terpampang di tengah-tengah Hotel ini perkataan Waqf lil Haramain as-Syarifain. Saya bertanya kepada pemandu teksi adakah ini bermakna hotel ini menyediakan perkhidmatan percuma kepada pengunjung haji. Katanya keuntungan sewaan di hotel ini akan digunakan untuk pembangunan Masjidil Haram dan perkembangan Islam di Kota Mekah khususnya...Wallahu A'lam. Mengikut lakaran artis yang terpampang di singboaord, bangunan seperti itu akan dibina di sekitar Masjidil Haram bagi menampung penginapan jemaah Haji nanti. Projek raksasa ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun lagi. Kawasan di belakang Masjid Kuching juga telah rata untuk pembangunan yang sama.

Waktu berlalu begitu pantas. Malam Isnin 24 mei 2009 kami berangkat ke Jeddah jam 12:30am selepas Tawaf Wida'. Jam 7:50 am esoknya penerbangan ke Dubai dengan pesawat Saudi Airline. Transit di Dubai selama 5-6 jam sebelum kembali ketanah air dengan pesawat MAS dan transit di Karachi selama satu jamsebelum sampai di KLIA jam 9:00 pagi 26 Mei 2009. 26 jam perjalanan...