Saturday, October 17, 2009

Salam Aidilfitri

Selamat bertemu kembali di ruang siber tanpa sempadan. Agak lama saya tidak menulis dan mengemaskini blog ini. Walau bagaimanapun berita dan aktiviti j-QAF boleh dilayari di website SPI yang baru di http://www.spiperak.bpi.edu.my/.

Bulan oktober ini agak mencabar, aktiviti kokurikulum j-QAF termasuk MKQSS dan Majlis Ihtifal j-QAF terpaksa dibatalkan di peringkat negeri lantaran penularan wabak H1N1. Beberapa daerah masih meneruskan Ihtifal j-QAF di peringkat daerah memandangkan persediaan yang telah dibuat seperti di daerah Manjung dan Kinta Utara. Pihak jabatan amat terharu dengan komitmen warga PPD berkenaan yang berusaha untuk menjayakan majlis tersebut di peringkat PPD dengan pelbagai langkah-langkah keselamatan.

Pada bulan ini juga beberapa kursus perlu dilaksanakan walaupun tidak mempunyai peruntukan yang khusus. Kursus pendedahan SP dan HSP peringkat daerah melibatkan 442 buah sekolah akan diteruskan di setiap daerah bermula 19 Okt 2009 di daerah Perak Tengah. Manakala kursus pemantapan j-QAF untuk guru-guru yang menamatkan latihan perguruan pada Jun 2009 akan berlangsung di dua Zon pada 21 dan 29 Oktober ini.

Waran peruntukan KBS dan KLaQ telah diterima pada 7 Okt 2009 yang lalu dan proses untuk menyalurkan terus peruntukan ini ke akaun sekolah sedang rancak diuruskan oleh bahagian kewangan Jabatan. Bahagian Pendidikan Islam yang bertanggungjawab dengan menyediakan bajet ini dalam usaha untuk melihat sendiri secara lebih dekat bagaimana peruntukan ini dibelanjakan di sekolah-sekolah. Pihak Jabatan Pelajaran dengan kerjasama PPD telah menyenarai pendekkan beberapa sekolah untuk pemantauan ini. Pada masa yang sama semua sekolah tahap dua juga terlibat dengan program KLaQ peringkat sekolah. Semua ini berlaku di bulan Oktober.

Di bulan ini juga Jabatan Pelajaran sering menerima panggilan telefon untuk rayuan pertukaran guru dari pelbagai tahun ambilan. Semuanya menaruh harapan tinggi agar permohonan mereka berjaya dan berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin jika pertukaran mereka berjaya dan berada di samping keluarga tercinta. Jabatan ini menerima 129 permohonan secara manual dan 66 permohonan online. Dalam permohonan online hanya 37 orang yang memohon untuk ke negeri Perak. Negeri Kelantan mencatatkan bilangan permohonan masuk tertinggi iaitu 132 orang dan bilangan permohonan keluar yang rendah iaitu 2 orang.

Bulan ini juga guru-guru di sekolah sedang sibuk menjalankan ujian bahasa Arab Tahap 2. Sistem pelaporan data pencapaian 6 bulan kedua juga perlu dikemaskini sebelum bulan nov.

Pelbagai cabaran, kekangan dan himpitan waktu ini seharusnya mematangkan kita sebagai penjawat awam dalam menunaikan amanah pendidikan ini. Tahun 2010 semakin menghampiri. Sebanyak 20 buah sekolah baru telah disenaraikan untuk pelaksanaan j-QAF tahun hadapan. Keperluan guru juga semakin bertambah.

Mudah-mudahan kita semua berjaya melepasi cabaran ini dengan jayanya dengan pencapaian 100% menguasai dan khatam al-Quran. Tidak ada kejayaan yang paling bermakna selain melihat anak didik dapat menguasai dan mendekatkan diri dengan mukjizat rasul terakhir.

Guru-guru sekalian ... komitmen saudara/i amat bermakna untuk kecemerlangan ummah.